• Samsung Galaxy S3 Dilancarkan



    Hari ini, secara rasminya Samsung Galaxy S3 sudah pun diumumkan kepada seluruh dunia. Bertemakan konsep “Designed for Human”, pengganti Samsung Galaxy S2 ini dikatakan mampu mengalahkan pesaing-pesaingnya yang lain. Namun ayat “Designed for Human” ini memang agak pelik kerana adakah sebelum ini Samsung telah mencipta telefon bimbit mereka untuk binatang ataupun makhluk asing? Walau apa pun, berikut adalah beberapa pandangan awal saya tentang telefon bimbit ini walaupun masih belum sampai di Malaysia.

    Spesifikasi

    Secara mata kasar, Samsung Galaxy S3 ini mempunyai saiz skrin 4.8”, lebih besar berbanding Galaxy S2. Peliknya ia tidak lagi menggunakan Super AMOLED Plus seperti telefon bimbit terdahulu. SGS3 hanya menggunakan Super AMOLED dengan pewarnaan 16M sahaja. Mungkin ini adalah initiatif daripada Samsung dalam memastikan bateri telefon bimbit terbaru keluaran mereka ini mampu bertahan lebih lama. Dilengkapi dengan Corning Gorilla Glass 2, ia dikatakan lebih tahan lasak berbanding SGS2. Dari segi cip pemprosesan pula, SGS3 dilihat jauh lebih tinggi daripada SGS2 dengan penggunaan Quad Core 1.4 GHz Cortex-A9. Namun RAMnya masih kekal seperti biasa iaitu 1GB RAM. SGS3 lebih tebal sedikit berbanding SGS2 dengan perbezaan sebanyak 0.1mm sahaja.

    Ia mempunyai kamera 8 Megapixel yang dilengkapi dengan LED Flash dan mampu mengambil video dalam fromat HD. Kamera di bahagian hadapannya pula adalah 1.9 MP sahaja. SGS3 terdapat dalam 3 versi iaitu 16GB, 32GB dan 64GB. Jika itu tidak mencukupi, anda masih boleh menambah ruang storan melalui Micro SD. Jadi bayangkan telefon bimbit anda mempunyai ruang simpanan sebesar 128GB. Paling menarik, anda boleh menukar bateri telefon bimbit anda bila-bila masa kerana ia boleh ditukar tidak seperti iPhone.

    Fungsi

    Samsung Galaxy S3 menggunakan Android 4.0.4 iaitu OS Android paling terbaru, Ice Cream Sandwich. Antara fungsi tambahan di dalam telefon bimbit ini adalah Smart Stay. Ia merupakan fungsi automatic di mana SGS3 akan mengetahui sama ada anda sedang melihat telefon bimbit anda ataupun tidak. Sekiranya anda tidak melihatnya, SGS3 akan secara automatik menurunkan kadar pengcahayaannya untuk menjimatkan bateri. Satu lagi fungsi menarik adalah Direct Call di mana ia membenarkan anda membuat panggilan secara automatik sekiranya anda mahu membuat panggilan terus dari ruang penghantaran mesej SMS. Anda hanya perlu meletakkan telefon bimbit di telinga dan ia akan terus mendail nombor yang terdapat di dalam SMS itu. Terdapat juga aplikasi Social Tag yang membolehkan anda membuat tagging ke atas gambar yang telah diambil secara terus dan memuat naik kepada Facebook. Jika anda suka dengan aplikasi SIRI yang terdapat dalam iPhone, maka S Voice bakal menjadi kesukaan anda.


    Keseluruhan

    Secara keseluruhan telefon bimbit Samsung Galaxy S3 ini agak menarik namun bentuknya seperti Samsung Galaxy Nexus sebelum ini. Mungkin ada sesetengah pihak yang akan menyukai rekabentuk ini dan mungkin ada yang tidak. Kalau nak dibandingkan dengan Galaxy Note,  sudah pasti Note lebih besar dan dilengkapi dengan Stylus pen berbanding  SGS3. Namun Note hanya menggunakan cip pemprosesan Dual Core dan ruang storannya yang terbesar adalah 32GB (tidak termasuk Micro SD). Dijangkakan dari segi kelajuan, SGS3 akan lebih laju dan lancar berbanding SGS2 dan Note.

    Walau bagaimanapun, saya beranggapan bahawa SGS3 bakal bersaing sengit dengan HTC One X kerana One X mempunyai cip pemprosesan yang 0.1GHZ lebih pantas daripada SGS3 di samping menggunakan skrin Curve yang memberikan pengalaman berlainan buat para penggunanya. Malah iPhone 5 pun diura-urakan bakal keluar pada bulan Jun atau Julai hadapan dengan khabar angin bakal menggunakan teknologi Liquid Metal (Logam Bendalir).

  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain