• Laman blog teknologi & gajet dalam Bahasa Melayu


    Bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, Drexar21 ingin memperkenalkan beberapa laman web dan blog teknologi di luar sana yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Nampaknya trend penulisan blog dalam Bahasa Melayu kian menjadi popular di mana kita boleh melihat ia berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan. Perkara ini sememangnya amat bagus kerana ia mempertingkatkan kandungan informasi di dalam bahasa kebangsaan kita. Siapa lagi yang lebih layak untuk menyumbangkan kandungan-kandungan ini jika bukan rakyat Malaysia itu sendiri.


    Laman web Amanz.my merupakan salah satu peneraju utama dalam bidang penulisan blog teknologi dalam Bahasa Melayu. Tidak dinafikan blog ini telah berjaya mendapat tempat di hati penggemar-penggemar gajet tempatan. Amanz.my dimiliki oleh Amanz Network yang terdiri daripada 4 anak muda iaitu Ikwan Nazri (CEO), Aman Firdaus (Penulis dan Editor), Effi Nazrel (Penulis), dan Khairunnisa' (Wartawan pelatih). Amanz.my sememangnya amat pantas dalam mengemaskini berita terkini terutamanya dalam bidang teknologi maklumat sehingga mereka seringkali muncul di media massa termasuklah surat khabar, dan juga majalah. Kita boleh melihat sendiri bilangan pengunjung aktif yang datang ke Amanz.my melalui komen-komen yang ditulis di setiap artikel mereka. Jika diberi pangkat, Amanz.my layak digelar sebagai senior di dalam penulisan blog teknologi maklumat dalam bahasa melayu.

    Alexa Ranking (Malaysia) : 177


    iAwani.com merupakan rakan blog Drexar21 yang sememangnya sangat aktif dalam penulisan blog dalam bahasa melayu. Mengikut informasi daripada iAwani.com, laman blog ini pada asalnya diberi nama Engadget Melayu kerana kandungannya hampir menyerupai laman web terkenal Engadget. Berbanding Amanz.my, iAwani.com dikendalikan oleh seorang penulis sahaja iaitu saudara ShueQry Abdullah. Fokus utamanya adalah memberikan informasi tentang gajet peribadi merangkumi laptop, tablet, desktop pc, ultrabook, telefon pintar serta peranti elektronik. Gaya penulisannya yang mudah dan santai membuatkan pembacanya lebih cepat memahami berita yang hendak disampaikan. Apa yang menjadikan iAwani.com agak unik adalah font yang digunakan. Laman blog ini dilihat lebih selesa menggunakan font Times New Roman di kala kebanyakkan blog menggunakan font Arial. 

    Alexa Ranking (Malaysia) : 1,571


    TechoSocial lebih menumpukan pada media sosial, Internet dan juga teknologi masa kini. Blog ini mengumpul segala berita dan informasi berkisarkan rangkaian sosial dan Internet dari seluruh dunia dan dikongsikan kepada pembaca dalam bahasa melayu. TechoSosial dimiliki oleh saudara Mohd Shahrul Anuar, seorang yang sememangnya mempunyai minat yang amat mendalam dalam bindang teknologi dan perkembangan dunia. Seperti namanya, TechoSosial dilihat mengintegrasikan banyak laman sosial termasuklah Facebook, Twitter, Google+, LinkedIn, Pinterest dan juga Foursquare. Ia juga mempunyai peta laman (Sitemap) bagi memudahkan pembacanya mencari entri terkini bagi setiap topik yang ditulis.

    Alexa Ranking (Malaysia) : 3,453


    Blog Kelab Webmaster sememangnya amat unik kerana sejarah asalnya bermula daripada sebuah forum iaitu Forum Kelab Webmaster. Ia merupakan produk kedua di bawah jenama Kelab Webmaster. Laman blog ini bertindak sebagai tempat tambahan untuk admin berkongsi maklumat dan tutorial terbaru. Pengasas Kelab Webmaster adalah saudara Wmhafiz yang sangat meminati semua perkara berkaitan dengan komputer, gajet, permainan (games) dan Internet. Konsep Kelab Webmaster hampir menyerupai Lowyat.net di mana kedua-duanya mempunyai laman blog dan forum tersendiri. Walaupun Blog Kelab Webmaster baru sahaja bermula pada Julai 2012 yang lepas, namun kekerapan kemaskini yang diberikan telah membuatkan ia salah satu laman blog yang berpontensi untuk menjadi popular tidak lama lagi.

    Alexa Ranking (Malaysia) : 25,375
  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain