• Ulasan khas iPhone 5


    Setelah selesai sesi nyah kotak kini tiba masanya untuk kami memberikan sedikit ulasan tentang iPhone 5 yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada hari ini. Seperti yang kita sedia maklum, iPhone 5 menggunakan cip pemprosesan A6 dwi teras 1.2 GHz. Ia lebih nipis berbanding iPhone 4S dan iPhone 4 dengan ketebalan 7.6mm sahaja. Malah ia juga lebih ringan dengan keberatan 112 gram. Telefon pintar daripada Apple ini juga lebih panjang berbanding telefon pintar yang biasa. Faktor reka bentuk ini telah mendapat banyak komen di kalangan para pengkritik. Ada yang menyukainya dan ada juga mengatakan Apple sudah tidak mempunyai sebarang idea untuk menginovasikan iPhone lagi.

    Apple iPhone 5 juga menggunakan kad SIM nano terbaru di mana ia lebih kecil berbanding SIM mikro yang terdapat pada iPhone 4S dan Nokia Lumia. Pengenalan kad SIM nano ini sememangnya mendapat perhatian kerana ia merupakan satu-satunya telefon bimbit yang menggunakan kad SIM bersaiz kecil ini. Ia dikatakan mampu menyokong rangkaian LTE namun buat pengguna di Malaysia, anda masih perlu menunggu sebelum teknologi ini sampai ke negara kita kerana syarikat telekomunikasi seperti Maxis, DiGi serta Celcom sedang giat membina rangkaian LTE untuk para pengguna telefon pintar.

    Dari segi binaan, iPhone 5 dilihat amat kukuh dan tampak mahal dengan kualiti material yang digunakan. Ia tidak sama seperti Samsung Galaxy S3 yang menggunakan plastik sebagai binaan asas, demi mendapatkan keringinan telefon pintar yang diinginkan. Kabel Lightning yang diperkenalkan juga amat menarik kerana ia kecil dan senang dicucuk kepada iPhone 5. Masalahnya, sekiranya anda pengguna iPhone yang sedia ada, anda perlu meletakkan sejumlah wang untuk membeli penyambung kabel Lightning.

    Kamera iPhone 5 disertakan dengan 8 megapixel dan mampu untuk menangkap gambar sebesar 3264 x 2448 pixel. Malah kamera ini juga mampu menangkap gambar video dengan kualiti 1080p HD pada 30 fps. Walaupun kamera di bahagian hadapan hanyalah sebesar 1.2 megapixel, ia dikatakan mampu menangkap gambar video sehingga 720p pada 30 fps.

    Jika anda inginkan aksesori untuk iPhone 5, anda tidak perlu risau kerana aksesori untuk telefon pintar ini sudah boleh didapati di mana-mana sahaja termasuklah kedai reseller Apple seperti Machines dan iStudy. Terdapat banyak pilihan yang boleh dipilih mengikut citarasa anda.

    Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan aplikasi serta sistem operasi yang terdapat di dalam iPhone 5, anda boleh menonton video di bawah. Ia menceritakan serba sedikit penambahan yang dibuat oleh Apple dalam iOS 6.0.1 serta beberapa aplikasi yang ditawarkan oleh Maxis buat pengguna iPhone di luar sana.


    Kata akhir, buat mereka yang sering bertanya, "Adakah iPhone 5 ini best dan berbaloi untuk dibeli?" Saya hanya akan menjawab anda perlu mencubanya sendiri di kedai-kedai Apple yang berdekatan. Ini kerana semuanya bergantung kepada kesesuaian pengguna itu sendiri. Ada yang menginginkan aplikasi  dan ada yang inginkan kebebasan untuk melakukan apa sahaja pada telefon pintar anda. Tepuk dada tanyalah selera.

  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain