• Konsol permainan Android daripada Nvidia

    Pada permulaan CES 2013, Nvidia telah memperkenalkan sebuah sistem konsol permainan yang menggunakan platform Android sepenuhnya. Projek yang diberi nama Shield ini menggunakan cip pemprosesan Tegra 4 dan mampu memberikan kualiti video konsol yang hebat di samping mengekalkan ciri mudah alih. Cip pemprosesan konsol ini mampu menghantar resolusi 4K melalui kabel HDMI ke paparan luaran seperti HDTV.

    Shield juga dilengkapi dengan sokongan audio yang berteknologi tinggi dan dikatakan mampu mengalahkan kualiti yang dihasilkan oleh laptop yang dilengkapi dengan sistem Beats Audio. Bateri 33Wh akan membolehkan anda untuk bermain selama 5 hingga 10 jam. Konsol ini juga dipasangkan sekali dengan skrin sentuh sebesar 5 inci, 720p membolehkan anda melihat video HD melaluinya. Jika anda inginkan ruang storan yang lebih luas, anda boleh menggunakan kad micro SD untuk membuat penambahan.

    Apa yang menjadikan konsol ini menarik adalah ia menggunakan sistem operasi Android di mana anda boleh menggunakan Google Play Store untuk memuat turun permainan. Jika itu tidak mencukupi, anda boleh memainkan permainan yang terdapat di dalam komputer Windows secara streaming. Syarat utamanya adalah komputer tersebut haruslah dilengkapi dengan kad grafik GeForce GTX 650. Di masa akan datang, Nvidia akan membuat kemaskini ke atas konsol ini untuk menyokong sambungan ke TV tanpa wayar.

    Konsol Project Shield ini dijangka bakal berada di pasaran pada suku kedua tahun ini. Tiada sebarang harga rasmi yang telah diumumkan untuk produk ini namun ia dijangka bakal menjadi kegemaran ramai pemain permainan konsol Android dan Windows di luar sana.

     

  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain