• Pakej Komunikasi Belia daripada Maxis, DiGi, Celcom, dan U Mobile

    Seperti yang kita telah ketahui, kerajaan telah mengumumkan Pakej Komunikasi Belia khas buat semua belia di Malaysia bagi menggalakkan penggunaan telefon pintar 3G di kalangan muda mudi. Syarat utama yang diletakkan adalah anda mestilah berumur dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun serta memiliki pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. Mereka yang menepati syarat berikut layak untuk mendapat rebet RM200 untuk pembelian sebuah telefon pintar. Menariknya kerajaan telah membenarkan para belia yang layak untuk memiliki apa sahaja jenis telefon pintar tanpa mengira nilainya melalui pakej ini (tertakluk kepada telefon pintar yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi dan kedai terpilih).

    Maxis telah menawarkan beberapa telefon pintar yang menarik kepada para belia. Tawaran untuk Pakej Komunikasi Belia daripada Maxis telah dilakukan di bawah penjenamaan Hotlink dengan memperkenalkan dua pelan yang berbeza iaitu pra bayar dan pasca bayar. Antara telefon pintar yang ditawarkan adalah iPhone 5 (16GB), Samsung Galaxy S3, HTC Desire C, Samsung Galaxy Mini 2, Nokia Asha 311 dan Samsung Galaxy Y. Tiada kontrak akan dikenakan ke atas pengguna pra bayar manakal pengguna pasca bayar perlu memilih tempoh kontrak antara 24 atau 12 bulan bergantung kepada telefon pintar yang dipilih. Tawaran yang diberikan oleh Hotlink ini dilihat amat menarik kerana hanya mereka sahaja yang menawarkan iPhone 5 melalui Pakej Komunikasi Belia. Sudah pasti ramai belia yang akan berlumba-lumba untuk mendapatkan telefon terbaru daripada Apple ini pada harga yang murah.

    Tidak seperti Maxis, DiGi menawarkan telefon pintar yang berlainan bagi pelan pra bayar dan juga pasca bayar. Bagi pra bayar, anda boleh membeli Samsung Galaxy Y ataupun HTC One X. Kedua-duanya mempunyai had penggunaan Internet sebanyak 300MB seminggu. Sekiranya anda memilih pelan pasca bayar daripada DiGi, anda boleh memilih untuk memiliki Samsung Galaxy Note 2 ataupun Samsung Galaxy S3 dengan pelan DiGi Smart Plan 88.

    Bagi Celcom pula, anda hanya boleh membeli Samsung Galaxy Y sahaja dan tiada telefon pintar yang ditawarkan melalui Pakej Komunikasi Belia buat masa ini. Malah tiada pelan khusus buat pengguna pra-bayar yang ditawarkan. Menariknya, pakej untuk pasca bayar didatangkan dalam 3 pilihan yang berlainan iaitu Celcom First Prime, Celcom First Premier dan Celcom First Elite.

    Pujian sepatutnya diberikan kepada U Mobile kerana mereka merupakan satu-satunya syarikat telekomunikasi yang benar-benar memberikan pilihan terbanyak buat belia untuk Pakej Komunikasi Belia. U Mobile menawarkan banyak telefon pintar termasuklah Samsung Galaxy Y, Samsung Galaxy S3, Galaxy S3 Mini, Galaxy Nexus, HTC One X, One S, dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, dengan setiap pembelian telefon pintar daripada U Mobile, anda akan menerima sebuah set kad SIM permulaan U Mobile bernilai RM28 secara percuma. Sayang sekali tiada iPhone 5 dan Samsung Galaxy Note 2 yang ditawarkan buat para belia di luar sana.

    Senarai telefon pintar yang daripada syarikat-syarikat telekomunikasi ini mungkin akan bertambah dari masa ke semasa sepanjang penawaran Pakej Komunikasi Belia ini berjalan. Menurut informasi yang diterima, pakej ini hanya akan sah untuk tahun ini sahaja dan mungkin akan dilanjutkan bergantung kepada keputusan daripada kerajaan Malaysia.

     

  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain