• Penghantaran mesej melalui Whatsapp mencecah 7 billion sehari

    Sesiapa sahaja yang menggunakan telefon pintar pada masa sekarang sudah pasti akan memiliki aplikasi penghantaran mesej paling popular di dunia iaitu, Whatsapp. Tidak kira anda pengguna Android, iPhone, Windows Phone mahupun Blackberry, aplikasi ini pasti akan menjadi pilihan untuk berkomunikasi melalui Internet. Atas kerana faktor itulah perkembangan Whatsapp semakin menjadi-jadi. Pada bulan Ogos 2012 yang lepas, bilangan mesej yang dihantar melalui Whatsapp telah mencecah angka 4 billion sehari. Kini, pada hari kedua tahun 2013, aplikasi ini berjaya membuka lembaran baru apabila ia berjaya menghantar sebanyak 7 billion mesej sehari. Ini sememangnya amat menarik kerana Whatsapp berjaya membuat peningkatan sebanyak 75% kurang daripada 4 bulan sahaja.

    Peningkatan yang memberangsangkan ini sudah semestinya bergantung pada kadar penggunaan telefon pintar yang semakin meningkat di kalangan para pengguna. Malah tidak dapat dinafikan kebanyakkan mesej yang dihantar melalui Whatsapp adalah menggunakan telefon pintar Android yang kini boleh didapati pada harga yang sangat rendah. Pengguna di negara baru membangun di Afrika Selatan dan Asia Tenggara kini sudah mampu memiliki telefon pintar seterusnya meningkatkan kadar penembusan aplikasi ini.

    BBM daripada RIM juga telah menerima tempias pada masa yang sama di mana kadar penggunaan aplikasi BBM mula berkurangan sejak akhir-akhir ini. Ia jelas kelihatan di beberapa buah negara seperti Malaysia, Indonesia dan Afrika Selatan. Adakah Whatsapp mampu mengekalkan angka ini secara berterusan di masa akan datang di mana kini terdapat banyak aplikasi permesejan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan seperti Line, Viber, WeChat dan banyak lagi.

     

  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain