• Ulasan ringkas Nokia Lumia 920


    Seperti yang sudah kita ketahui, Nokia Lumia 920 telah pun berada di pasaran Malaysia pada awal tahun 2013 dan mula mendapat tempat di hati para peminat telefon pintar. Pasti ramai yang tertanya-tanya apa keistimewaan yang terdapat di dalam telefon pintar terbaru Nokia ini berbanding telefon pintar yang sedia ada di pasaran kita. Adakah telefon pintar ini mampu menggantikan iPhone ataupun Samsung Galaxy di masa akan datang? Drexar21 akan cuba mencungkil serba sedikit faktor keistimewaan telefon pintar ini buat tatapan anda semua.

    Seperti produk Nokia Lumia yang lain, Lumia 920 menggunakan  sistem operasi Windows Phone daripada Microsoft. Apa yang menjadikan ia berlainan daripada Lumia 900, 800 dan 710 adalah ia menggunakan sistem operasi terbaru Windows Phone iaitu WP8. Versi ini memberikan anda lebih ruang untuk mengubah paparan awal telefon pintar Windows Phone anda mengikut citarasa anda sendiri.

    Keistimewaan terbesar yang terdapat pada Lumia 920 terletak pada kameranya. Ia menggunakan teknologi PureView yang membolehkan anda menangkap gambar atau video yang tidak kabur walau dalam apa jua situasi. Ini termasuklah ketika waktu malam (gelap) atau telefon pintar anda bergegar. Terima kasih kepada teknologi pengstabilan imej optik (Optical Image Stabilisation) dan lensa Carl Ziess yang disertakan bersama di dalam Lumia 920.


    Paparan Pure Motion HD+ merupakan teknologi yang mampu memberikan paparan yang lebih cerah, pantas dan sensitif berbanding skrin yang sedia ada di pasaran sekarang. Ia sangat sensitif sehinggakan mampu diguna apabila jari anda dilitupi dengan kain atau plastik. Terdapat beberapa video di Youtube yang menunjukkan mereka mampu menggerakkan paparan dengan menggunakan garfu ataupun pisang, namun berdasarkan percubaan kami sendiri, ia tidak mampu mengesan input daripada bahan besi dan plastik (lihat video di atas). Mungkinkah terdapat sedikit kesilapan ketika kami melakukan ujian tersebut?


    Selain daripada itu, fungsi pengecasan tanpa wayar iaitu Qi juga turut digabungkan bersama ke dalam Lumia 920. Ia bagi memudahkan anda mengecas telefon pintar anda tanpa perlu menyambungkan sebarang wayar kepadanya. Anda hanya perlu letakkan Lumia 920 ke atas alat pengecasan Qi, dan ia akan mengecas telefon pintar anda secara automatik. Alat pengecas ini dijual secara berasingan.

    Kelemahan terbesar yang kami lihat pada telefon pintar ini terletak pada jumlah aplikasi yang terdapat di dalam Marketplace Window Phone. Walaupun sudah terdapat banyak aplikasi yang boleh dijumpai di dalam Marketplace, namun ia tetap tidak boleh menandingi jumlah aplikasi yang sedia ada terdapat di dalam Google Store dan App Store iOS. Aplikasi seperti Instagram dan Pinterest masih belum boleh dijumpai di dalamnya buat masa ini. Namun sekiranya anda jenis yang hanya mementingkan aplikasi yang asas seperti Facebook, Twitter dan Whatsapp, telefon pintar ini mungkin amat sesuai untuk anda.

    Nokia Lumia 920 sudah pun boleh dimiliki di kedai Nokia pada harga RM1,999. Malah anda juga berpeluang untuk memegang dan membuat ujian ke atas telefon pintar ini sebelum anda membelinya. Kami mencadangkan anda untuk merasakan sendiri Lumia 920 ini kerana hanya anda sendiri sahaja yang boleh menjawab persoalan sama ada telefon pintar Nokia ini sesuai untuk anda ataupun tidak.

  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain