• Sony Playstation 4 pada penghujung tahun 2013

    21 Feb 2013 - Penantian yang panjang akhirnya sudah berakhir apabila Sony telah mengumumkan kemunculan Playstation 4 awal pagi tadi. PS4 terbaru ini memiliki spesifikasi yang lebih tinggi dan hebat berbanding PS3 kerana dilengkapi dengan cip pemprosesan X86 lapan teras, PC-style GPU yang dinaik taraf, memori kelajuan tinggi GDDR5 8GB. Bukan itu sahaja, PS4 turut didatangkan dengan pengawal terbaru iaitu DualShock 4 yang mempunyai skrin sentuh kecil seumpama PS Vita. Pengawal terbaru ini juga dilengkapkan dengan sebuah butang perkongsian dan bicu fon kepala.

    Tidak seperti Playstation terdahulu, PS4 menggunakan teknologi perkongsian awan Gaikai untuk membolehkan para pemain bermain secara terus tanpa perlu membeli sebarang cakera Blu Ray ataupun DVD. Ia juga dikatakan mampu memberikan pengalaman permainan yang terpantas melalui rangkaian di samping membolehkan anda mencuba permainan tersebut sebelum membeli. Ia seumpama sistem yang terdapat pada PS Vita pada masa kini.

    Melalui sistem Gaikai, pemain akan dibenarkan untuk berkongsi perjalanan permainan anda bersama rakan-rakan di Facebook mahupun UStream. Malah setiap pemain juga akan memiliki profil seumpama Facebook di dalam PS4 bagi menunjukkan status terkini anda dan pencapaian yang diperoleh. Ini merupakan fungsi yang pertama kali diperkenalkan buat permainan konsol.

    Selain itu, Sony juga telah mengintegrasikan permainan yang terdapat di dalam PS4 dan PS Vita bagi membolehkan anda bermain di mana-mana sahaja. Ini bermakna PS Vita kini sudah menjadi aksesori yang amat penting buat pengguna PS4. Bagi permainan daripada Playstation terdahulu, Sony telah berjanji akan membawa masuk permainan PS3, PS2 dan PS1 ke dalam sistem permainan PS4 melalui perkongsian awan Gaikai. Malah terdapat ura-ura awal yang mengatakan permainan Diablo 3 juga akan dibawa masuk ke dalam PS4.

    Sumber informasi dan gambar : The Verge

     

  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain