• Samsung Galaxy S4 diumumkan secara rasmi

    15 Mac 2013 - Bagi peminat setia Samsung Galaxy, anda sudah pasti gembira kerana Samsung telah memperkenalkan siri Galaxy terkini iaitu Samsung Galaxy S4. Pesaing utama kepada iPhone keluaran Apple masih mengekalkan reka bentuk yang sama seperti Galaxy S3 namun dinipiskan sedikit serta diperbesarkan kepada 5 inci. Sedikit sebanyak telefon pintar terbaru ini amat mirip kepada Galaxy S3 dan Galaxy Note 8.0. Ia menggunakan skrin Super AMOLED dengan densiti piksel 441 dan resolusi 1080p. Menariknya ia menggunakan Corning Gorilla Glass 3.0 dan boleh digunakan walaupun anda menggunakan sarung tangan (menyerupai Nokia Lumia 920).
    Dari segi spesifikasi dalaman, ia didatangkan dengan 2GB RAM manakala cip pemprosesannya antara 1.6GHz Exynoz lapan teras atau 1.9GHz Qualcomm empat teras bergantung kepada kawasan. Tidak pasti sama ada Malaysia bakal menerima versi lapan teras ataupun tidak. Seperti biasa, ia menggunakan Android Jellybean terkini iaitu 4.2.2. Galaxy S4 memiliki dimensi 136.6 x 69.8 x 7.9mm dan berat 130gram. Dengan adanya skrin yang lebih besar, kapasiti bateri juga telah dipertingkatkan kepada 2,600mAh. Buat masa ini ia hanya didatangkan dalam dua warna yang berbeza iaitu White Frost (putih) dan Black Mist (hitam).
    Jika anda penggila kamera, Galaxy S4 sudah pasti tidak mengecewakan anda kerana ia memiliki 13 megapiksel di bahagian belakang dan 2 megapiksel di bahagian depan. Kebolehan utama pada kamera Samsung ini adalah ia mampu menangkap gambar atau video melalui dua-dua kamera secara serentak. Teknologi seumpama ini juga boleh digunakan untuk panggilan video melalui mod Dual Video Call. Anda juga boleh merekod gambar animasi gif dengan mudah melalui Drama Shot.

    Smart Pause juga amat mengujakan kami apabila ia mampu memberhenti video yang sedang anda tonton secara automatik sekiranya anda tidak memandang pada skrin Galaxy S4. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menggunakan jari anda sebagai S Pen melalui Air View untuk melihat preview kalendar, emel, galeri gambar atau video.

    Samsung Galaxy S4 bakal mula dipasarkan ke seluruh dunia bermula suku kedua tahun ini. Walau bagaimanapun, harga bagi sebuah Galaxy S4 masih lagi menjadi tanda tanya. Galaxy S4 bakal didatangkan dengan saiz storan dalaman 16GB, 32GB dan 64GB (microSD masih boleh ditambah jika anda perlukan storan tambahan).



  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain