• iPhone lama tidak boleh menggunakan iOS 7


    11 Jun 2013 - Awal pagi tadi telah berlangsungnya majlis yang dinanti-nantikan ramai peminat setia Apple di seluruh dunia. Dalam majlis WWDC 2013 pagi tadi, Apple telah pun memperkenalkan kemaskini sistem operasi mereka, iOS 7 secara rasminya. Seperti yang digembar-gemburkan, reka bentuk asas untuk iOS 7 telah pun diubahsuai dengan menampilkan pengguna grafik ikon dalam bentuk vektor. Ikon-ikon terbaru ini kelihatan lebih kemas daripada rekaan sebelumnya malah ada juga yang mengatakan ia amat mirip kepada ikon-ikon yang terdapat di dalam sistem operasi MeeGo.


    Perubahan reka bentuk di dalam iOS 7 tidak hanya sekadar pada ikon-ikon di menu utamanya sahaja, malah ia turun menampilkan reka bentuk terbaru di dalam setiap aplikasi asas iOS 7. Sistem permesejan, papan kekunci maya (virtual), Emel, Galeri, Kamera hinggalah ke Siri, semuanya sudah diperbaharui bagi memberikan pengalaman yang baru buat para penggunanya.









    Selain daripada perubahan pada reka bentuk, iOS 7 juga menampilkan beberapa fungsi baru yang berguna untuk para pengguna iPhone di luar sana. Antara fungsi-fungsi baru yang ditampilkan adalah:

    Control Centre


    Menu terbaru Control Centre membenarkan anda menukar atau membuka capaian asas di dalam iOS 7 dengan mudah. Antara capaian asas pantas yang disediakan adalah mode kapal terbang, Wi-Fi, Bluetooth, Do Not Disturb, Lock Screen Orientation, dan kadar pengcahayaan pada skrin peranti Apple anda. Anda juga boleh memainkan atau memberhentikan sesebuah lagu dengan pantas. Fungsi tambahan seperti lampu suluh, pengira masa, kalkulator dan kamera juga disediakan untuk capaian pantas.

    Notification Centre


    Sistem Notification Centre juga telah dikemaskinikan dengan adanya penambahan tiga tab utama di bahagian atas iaitu Today, All dan Missed. Melalui tab Today, anda boleh mengakses kalendar iOS 7 dengan pantas bagi melihat apakah agenda anda pada hari berkenaan. Tab Missed pula bertindak sebagai arkib di mana ia menyimpan semua notifikasi yang anda terlepas sebelum ini. Tab All pula bertindak seperti sistem Notification Centre yang sedia ada. Menariknya sistem Notification Centre kali ini sudah boleh diakses daripada Lock Screen lagi untuk capaian yang lebih pantas.

    Multitasking


    Sistem Multitasking iOS 7 juga amat berlainan daripada apa yang terdapat di dalam iOS 6. Kali ini anda dapat melihat secara terus aplikasi yang dijalankan pada sesuatu masa. Ini amat mirip kepada konsep yang terdapat pada Windows Phone. Apa yang menjadikan ia berlainan adalah ia mempunyai kebijaksanaan untuk mengemaskini yang terdapat di dalam aplikasi berkenaan bergantung kepada aktiviti seharian anda. Sebagai contoh, sekiranya anda gemar melayari Facebook pada jam 9 pagi, sistem Multitasking mampu mengemaskini timeline anda terlebih dahulu sebelum anda membukanya.

    Camera


    Aplikasi kamera iOS 7 telah pun dipertingkatkan dengan pengenalan fungsi filter pada gambar. Selain itu, anda kini hanya perlu menyapu (swipe) jari anda ke kanan atau ke kiri untuk mengubah daripada empat mode pilihan iaitu Video, Photo, Square (bentuk seperti Instagram) dan Pano (Panorama).

    AirDrop


    Salah satu kelemahan yang terdapat di dalam iOS-iOS sebelum ini adalah ia tidak mampu menghantar fail ataupun gambar melalui Bluetooth. Kini Apple telah memperkenalkan AirDrop bagi memudahkan pengguna iOS 7 menghantar gambar, video, kenalan dan dokumen kepada rakan-rakan anda yang berada di sekeliling dengan pantas. Menariknya ia boleh menggunakan teknologi Bluetooth atau Wi-Fi. Kemungkinan besar, anda hanya boleh menghantar fail-fail ini kepada rakan-rakan yang menggunakan iOS 7 sahaja.

    Terdapat lagi beberapa fungsi tambahan yang disertakan juga seperti kemaskini pada Safari, Siri, Maps dan banyak lagi. Namun, berita tidak baik untuk pengguna iPhone 3GS, iPad generasi pertama dan iPod Touch generasi ke-4 kerana iOS 7 tidak akan disokong di dalam peranti-peranti berkenaan. 

    Buat masa ini, aplikasi iOS 7 Beta dan SDK telah pun boleh dimuat turun oleh ahli iOS Developer Program. iOS 7 dijangka bakal menemui para pengguna sebelum penghujung tahun ini.

    Laman Rasmi : iOS 7 Apple

  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain