• iPhone 5C akan dijual pada harga RM1,799 di Malaysia?


    11 September 2013 - Awal pagi tadi, Apple telah memperkenalkan telefon bajet rendah mereka iaitu iPhone 5C kepada umum secara rasminya. Telefon berkenaan kelihatan hampir seperti sebuah iPod Touch generasi kelima dengan binaan material plastik. iPhone 5C memiliki spesifikasi yang hampir sama seperti sebuah iPhone 5 namun terdapat beberapa peningkatan tambahan yang telah dibuat bersesuaian dengan kehendak pengguna masa kini.


    iPhone kini terdapat dalam pelbagai warna

    Tidak seperti iPhone-iPhone generasi terdahulu, iPhone 5C didatangkan dalam lima warna yang berlainan iaitu hijau, biru, kuning dan putih. Jelas sekali Apple cuba menyaingi konsep yang diperkenalkan oleh Motorola sebelum ini ketika mereka memperkenalkan Moto X. Pengguna iPhone 5C juga boleh membeli sarung rasmi telefon berkenaan bagi mempelbagaikan lagi warna pada telefon berkenaan. Konsep sarung rasmi ini kelihatan sama seperti konsep kreatif pada kasut Crocs dan dijangka bakal mendapat sambutan di kalangan mereka yang gemar bertukar warna.


    Bateri yang lebih tahan lama

    Selain daripada itu, iPhone 5C juga telah ditambah kapasiti bateri berbanding iPhone 5 bagi membolehkan ia bertahan sehingga 10 jam untuk penggunaan Internet LTE, 10 jam waktu berbual dan 10 jam untuk menonton video. Ia mampu bertahan selama 250 jam untuk waktu bersedia (standby). Walau bagaimanapun, Apple tidak mendedahkan jumlah kapasiti bateri yang telah ditambah pada iPhone 5C.

    Aplikasi eksklusif percuma

    Apple juga membawakan berita baik buat pengguna iPhone 5C terbaru kerana mereka akan mendapat beberapa aplikasi Apple eksklusif percuma termasuklah iPhoto, iMovie, Keynote, Pages, dan Numbers. Sebelum ini, aplikasi-aplikasi berkenaan dijual secara berasingan di App Store.

    Spesfikasi iPhone 5C

    • Tinggi : 124.4mm
    • Lebar : 59.2mm
    • Tebal : 8.97mm
    • Berat : 132gram
    • Cip pemprosesan : A6
    • Storan : 16GB dan 32GB
    • Sambungan : LTE, HSDPA, GSM/EDGE, Bluetooth 4.0, WiFi, Assisted GPS
    • Paparan : Retina (1136 x 640 piksel) 326ppi
    • Kamera : iSight 8MP (aperture f/2.6) dan 1.2MP (Definisi tinggi untuk FaceTime)

    Harga iPhone 5C di Malaysia

    Buat masa ini Malaysia tidak tersenarai di dalam negara-negara yang bakal menerima iPhone 5C terawal seperti Singapura. Namun, berdasarkan pemerhatian yang dibuat pada harga-harga jualan iPhone 5C di negara berkenaan, kami menjangkakan iPhone 5C akan dijual di Malaysia bermula pada harga RM1,799 (16GB) dan RM2,099 (32GB). Andaian ini dibuat berikutan harga tanpa kontrak yang ditawarkan di Amerika (BGR).

  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain