• iPhone 5S - Telefon pertama menggunakan cip pemprosesan 64 bit


    11 September 2013 - Sekiranya iPhone 5C bukanlah minat anda, iPhone 5S mungkin boleh dijadikan sebagai pilihan seterusnya kerana ia lebih tampak elegan dan sesuai untuk mereka yang inginkan sesuatu yang tampak eksklusif. Bagi mereka yang menggunakan iPhone 5 buat masa sekarang, sudah pasti akan teruja untuk mengetahui apakah penambahan yang telah dibuat oleh Apple. Salah satu perkara yang menjadi bualan adalah kemunculan warna terbaru iPhone iaitu Emas.


    Telefon pintar pertama menggunakan cip pemprosean 64 bit (A7)

    Menurut Apple, iPhone 5S merupakan telefon pintar pertama di dunia yang menggunakan teknologi 64 bit untuk cip pemprosesannya, A7. Cip pemprosesan terbaru ini mampu memberikan prestasi grafik dan CPU dua kali ganda berbanding A6 terdahulu. A7 menyokong OpenGL ES versi 3.0 bagi menghasilkan grafik yang setanding komputer mahupun konsol permainan.


    Cip pemprosesan bantuan tambahan M7

    Selain daripada A7, iPhone 5S juga memiliki sebuah cip pemprosesan tambahan, M7 bagi memantau data pergerakan melalui meter pecutan (accelerometer), giroskop, dan kompas. Sebelum ini tugas-tugas ini telah dilaksanakan oleh satu cip pemprosesan sahaja. Dengan adanya M7, ia mampu mengambil data aktiviti fizikal dengan lebih tepat di samping mengurangkan penggunaan bateri iPhone 5S.


    Kamera iSight yang dipertingkatkan kualiti

    iPhone 5S juga memiliki kamera yang lebih baik berbanding iPhone 5. Ia mempunyai 15 peratus sensor yang lebih besar, dan aperture f/2.2. Terdapat juga LED tambahan yang disertakan sekali pada bahagian belakang iPhone 5S untuk menghasilkan True Tone flash. Teknologi penstabilan imej turut dibawakan bersama dan ia menyamai konsep yang diperkenalkan oleh Nokia. Walau bagaimanapun, telefon ini masih menggunakan kamera 8 megapiksel.


    Sokongan pengimbas biometrik yang mudah

    Seperti yang dijangkakan sebelum ini, Apple akhirnya telah memperkenalkan teknologi pengimbas biometrik pada iPhone 5S melalui Touch ID. Melalui teknologi ini, pengguna tidak perlu meletakkan kata laluan untuk membuka iPhone mereka kerana ia telah digantikan dengan pengimbas cap jari (biometrik). Selain itu, Touch ID juga boleh digunakan semasa pengguna membeli di dalam App Store, iTunes Store dan iBook Store. Menurut Apple, pengimbas ini akan berfungsi dengan lebih baik bergantung kepada kekerapan penggunaannya.



    Sumber informasi : Apple
  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain