• Gelang pintar untuk kesihatan daripada Nike dan Adidas


    20 Oktober 2013 - Bagi mereka yang aktif dan ingin menguruskan berat badan, pengiraan bilangan kalori yang dibakar sememangnya sangat penting bagi memastikan aktiviti yang dilakukan mencapai sasaran yang dimahukan. Oleh kerana itu, terdapat banyak syarikat yang telah memperkenalkan gelang tangan pintar bagi memudahkan pengguna untuk merekod tahap keaktifan mereka setiap hari. Dua jenama sukan popular iaitu Adidas dan Nike telah memperkenalkan aksesori tangan terbaru mereka dan dijangka bakal menjadi kegilaan di kalangan mereka yang aktif.

    Nike+ Fuelband merupakan suatu nama yang tidak asing lagi kerana ia merupakan gelang tangan pintar pertama yang membolehkan pengguna merekod bilangan tapak, dan kadar pembakaran kalori sepanjang masa. Namun setelah masa berlalu, semakin banyak persaingan muncul daripada pihak lain yang menawarkan fungsi tambahan yang lebih menarik. Oleh kerana itu, Nike telah memperkenalkan Nike+ Fuelband SE iaitu suatu peningkatan daripada Nike+ Fuelband yang sedia ada.


    Perbezaan utama Nike+ Fuelband SE adalah ia mempunyai Sleep Tracker yang merekod waktu tidur pengguna bagi menunjukkan sama penggunanya mendapat tidur yang berkualiti ataupun tidak. Selain itu, gelang pintar terbaru ini didatangkan dalam pelbagai warna yang menarik seperti merah jambu, hijau dan oren. Dari segi teknologi, Nike+ Fuelband SE menggunakan Bluetooth 4.0 dan hanya boleh dihubungkan dengan peranti iOS seperti iPhone, iPod Touch dan iPad sahaja.

    Selain daripada Nike, Adidas juga tidak mahu ketinggalan dalam memperkenalkan gelang pintar versi mereka sendiri. Gelang pintar Adidas yang dikenali sebagai Adidas miCoach Smart Run lebih menyerupai sebuah jam tangan berbanding sebuah gelang. Ia mempunyai sebuah skrin sesentuh seumpama Samsung Galaxy Gear namun diperhebatkan dengan fungsi merekod denyutan nadi. Berdasarkan tahap denyutan nadi pengguna, jam tangan pintar ini akan menasihatkan jenis senaman yang bersesuaian kepada penggunannya.


    Menariknya, aksesori Adidas ini juga memiliki sokongan pemain MP3 bagi membolehkan pengguna mendengar lagu melalui fon telinga dengan sokongan Bluetooth. Fungsi asas seperti rekod kadar pembakaran kalori juga dibawakan bersama. Tidak seperti Nike+ Fuelband SE, jam tangan pintar Adidas ini boleh disambungkan kepada peranti Android kerana ia juga menggunakan sistem operasi Android di dalamnya.

    Kedua-dua aksesori tangan daripada Nike dan Adidas sememangnya amat menarik. Nike+ Fuelband SE bakal dijual pada awal November ini dengan harga USD149 (RM470) manakala Adidas miCoach Smart Run akan dijual pada harga USD399 (RM1,260). Buat masa ini tiada sebarang informasi sama ada kedua-dua aksesori pintar berkenaan akan dijual di Malaysia atau pun tidak. Nike+ Fuelband sebelum tidak dijual di negara kita.
  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain