• Perbezaan antara sistem biometrik HTC One Max dan iPhone 5S

    16 Oktober 2013 - Selepas pengenalan sistem pengimbas cap jari (biometrik) daripada Apple melalui iPhone 5S, pihak HTC telah mengikuti jejak langkah tersebut melalui pengenalan HTC One Max terbaru. Telefon berkenaan yang bersaiz 5.9 inci dijangka bakal menjadi pesaing hebat buat Samsung Galaxy Note 3. Persoalannya, ramai yang tertanya-tanya apakah perbezaan antara sistem biometrik yang terdapat pada iPhone 5S dan HTC One Max.

    Perbezaan paling ketara yang boleh dilihat adalah pengimbas cap jari pada telefon HTC berkenaan terletak di bahagian belakang, manakala pada iPhone 5S, ia diletakkan di bahagian hadapan pada kekunci 'Home'. Kedua-dua kedudukan memiliki kelebihan tersendiri namun sekiranya dibandingkan dari segi praktikal, pengimbas cap jari berkenaan adalah lebih baik diletakkan di bahagian hadapan bagi memudahkan pengguna mengimbas jari dengan pantas. Agak melecehkan sekiranya pengimbas cap jari diletakkan di bahagian belakang, malah ia akan sukar digunakan sekiranya diletakkan pelindung telefon pintar (phone cover).

    Dari segi fungsi, kedua-dua sistem biometrik membantu pengguna untuk membuka telefon pintar tanpa perlu meletakkan sebarang kata laluan. Pengguna hanya perlu mengimbas jari mereka sahaja. Kaedah ini bukan sahaja dapat mempercepatkan langkah pengguna ketika menggunakan telefon pintar malah memastikan telefon pintar mereka lebih selamat.

    Menariknya, sistem biometrik HTC One Max bukan hanya sekadar membenarkan pengguna membuka telefon pintar, malah ia boleh dijadikan sebagai jalan singkat untuk membuka aplikasi yang disukai pengguna tersebut. Pengguna dibenarkan untuk memilih aplikasi yang ingin dibuka selepas proses pengimbasan selesai. Sebagai contoh, pengguna hanya perlu mengimbas cap jari mereka untuk membuka aplikasi Facebook dengan pantas.

    Tidak seperti HTC One Max, sistem biometrik pada iPhone 5S (Touch ID) tidak membenarkan jalan pintas untuk membuka aplikasi. Walau bagaimanapun, sistem berkenaan membantu pengguna iOS untuk membeli aplikasi serta kandungan yang terdapat pada iTunes Store dan App Store dengan mudah. Pengguna tidak perlu meletakkan kata laluan Apple ID berulang kali kerana ia boleh digantikan dengan proses pengimbasan cap jari sahaja. Namun, tidak semua yang akan berminat dengan kaedah ini kerana masih ramai di kalangan pengguna iOS yang lebih gemar memuat turun aplikasi secara cetak rompak.

    Terdapat juga beberapa pihak yang mempertikaikan keselamatan cap jari pengguna di mana ia boleh digunakan pakai oleh pihak ketiga di masa akan datang. Namun, perkara ini disangkal sama sekali oleh pihak Apple dan HTC kerana mereka tidak akan menyimpan apa-apa data berkaitan biometrik pengguna di pengkalan data mereka. Maklumat biometrik pengguna akan disimpan di dalam telefon pintar berkenaan dan tidak akan boleh dicapai oleh mana-mana pihak ketiga mahupun Apple dan HTC.

    Walaupun ramai yang cuba menafikan penggunaan teknologi biometrik pada telefon pintar adalah tidak wajar dan tidak diperlukan, namun dijangkakan akan ada lebih banyak pengeluar telefon pintar yang akan menggunakan teknologi berkenaan di masa akan datang. Mungkin kaedah penggunaanya akan diperluaskan kepada dalam aplikasi tidak lama lagi.

     

  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain