• Ubahsuai laman Blogger menjadi lebih responsif


    6 Februari 2014 - Sejajar dengan perkembangan dunia teknologi masa kini, kebanyakkan laman-laman web telah mula menggunakan tema responsif bagi membolehkan pembaca menikmati paparan antara muka yang bersesuaian mengikut saiz skrin. Perkara ini sudah pasti amat penting kerana kebanyakkan pembaca kini sudah memiliki lebih daripada satu peranti sahaja termasuklah komputer, tablet dan telefon pintar.

    Sekiranya anda seorang penulis blog yang menggunakan perkhidmatan Blogger daripada Google, terdapat beberapa tema responsif yang boleh digunakan secara percuma untuk diadaptasikan ke dalam laman blog anda. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diikuti untuk menjadikan laman blog anda lebih responsif mengikut saiz skrin pembaca:

    1. Cari Tema Responsif Blogger


    Pertama sekali anda perlu mencari tema responsif yang anda gemari di Internet. Anda boleh membuat carian "Blogger Responsive Theme" di Google ataupun pergi ke laman tema Blogger popular seperti BTemplates.com atau ThemeForest.net. Perlu diingatkan bahawa tidak semua tema Blogger boleh dimuat turun secara percuma. Oleh itu, pasti akan anda membuat pilihan yang bijak dan tepat sekiranya anda berhasrat untuk membeli. Terdapat fungsi Demo yang boleh digunakan di laman-laman web ini bagi memudahkan anda membuat pilihan.

    2. Muat Turun Fail Tema Blogger Responsif

    Setelah selesai membuat pilihan, muat turun fail yang diberikan. Selalunya ia akan di dalam format XML, ZIP ataupun RAR. Terdapat juga beberapa laman web yang menyertakan bersama cara pemasangan tema berkenaan ke dalam Blogger.

    3. Buat Salinan Ke Atas Tema Blogger Yang Sedia

    Langkah ini seringkali dilupakan oleh pemilik Blogger. Namun, membuat salinan pada tema Blogger yang sedia ada amatlah penting bagi memastikan anda boleh kembali semula ke tema yang asal sekiranya berlaku sebarang masalah ketika proses pemasangan tema responsif baru. Salinan boleh dibuat dengan pergi ke menu Template>Edit HTML. Salin kesemua kod di dalamnya dan simpankannya di dalam NotePad buat sementara waktu.

    4. Pemasangan Kod Tema Responsif Di Dalam Blogger


    Buka fail XML yang telah dimuat turun menggunakan NotePad dan salin kesemua kod di dalamnya untuk menggantikan ke semua kod di dalam Template>Edit HTML. Untuk memastikan kesemua kod disalin dengan tepat, kekunci singkatan CTRL+A (Select All) sememangnya amat berguna.

    5. Lihat Preview Tema Responsif Yang Baru

    Sebelum anda menekan butang Save Template, pastikan anda melihat preview tema responsif berkenaan dengan menekan butang Preview Template. Terdapat kemungkinan tema responsif yang diletakkan tidak bersesuaian dengan Widget-Widget yang telah digunakan di dalam blog anda. Tidak perlu risau kerana anda boleh mengubah susunan Widget-Widget di langkah berikutnya. Sekiranya anda telah berpuas hati dengan tema yang baru ini, tekan butang Save Template.

    6. Susun Semula Widget


    Pergi ke bahagian Layout pada Blogger anda dan susun semula Widget-Widget yang bermasalah sebentar tadi. Anda boleh membandingkan hasilnya dengan menekan butang Preview sebagai langkah keselamatan.

    Apabila ke semua langkah-langkah ini selesai, maka blog anda kini sudah mempunyai tema responsif yang aktif. Pastikan anda membuat semakan di tablet, komputer dan telefon pintar untuk memastikan paparan antara muka yang dihasilkan adalah bersesuaian mengikut saiz skrin peranti berkenaan. 
  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain