• Ring - Projek mengawal komputer tanpa sentuhan


    6 Mac 2014 - Semakin banyak teknologi menarik yang telah cuba dikaji oleh pembangun di seluruh dunia. Ini termasuklah sebuah projek terbaru di Kickstarter yang cuba mengetengahkan konsep kawalan komputer tanpa sebarang sentuhan. Projek yang dikenali sebagai Ring ini merupakan sebuah cincin pintar yang mampu mengesan pergerakan jari pengguna yang memakainya.

    Konsep yang cuba diperkenalkan sangat unik kerana pengguna hanya perlu menggerakkan satu jari sahaja untuk membuat arahan seperti menterjemahkan perkataan, membuka aplikasi, ataupun meluluskan urusniaga. Ring yang diperkenalkan oleh pembangun daripada Jepun ini boleh dihubungkan kepada peranti iOS seperti iPhone. Tidak dapat dinafikan cincin ini juga boleh diubahsuai untuk mengawal komputer dan peranti yang lain.


    Selain daripada itu, cincin pintar ini juga dilengkapi dengan sebuah penggera mini yang akan bergetar sekiranya pengguna mendapat sebarang notifikasi daripada iPhone mereka. Walau bagaimanapun, Ring hanya beroperasi dengan beberapa aplikasi yang menggunakan Ring API sahaja buat masa ini. Ia dijanakan dengan bateri tersendiri dan mampu bertahan sehingga 1000 gerakan.

    Projek sebegini sememangnya amat menarik di mana kita bakal melihat lebih banyak peranti yang boleh dipakai di badan pengguna. Mungkinkah syarikat pengeluar teknologi utama seperti Apple, Samsung, Sony dan Nokia akan berminat untuk membeli teknologi ini?

  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain