• iOS 8 meningkatkan produktiviti pengguna dalam ekosistem Apple


    4 Jun 2014 - Semalam, Apple telah memperkenalkan iOS 8 kepada dunia ketika WWDC 2014. Kemaskini kepada iOS 7 ini sememangnya amat dinantikan oleh para pembangun aplikasi iOS serta pengguna iPhone, iPod Touch dan iPad. iOS 8 masih mengekalkan rekaan antara muka seperti iOS 7 namun telah diinovasikan bagi meningkatkan produktiviti para pengguna.

    Photos: Galeri gambar dan video

    Aplikasi Photos yang sedia ada telah diperhebatkan dengan fungsi iCloud Photo Library bagi membolehkan pengguna melihat gambar dan video secara terus daripada akaun iCloud mereka. Kesemua media ini boleh diakses di mana-mana peranti Apple termasuk MacBook.


    Selain itu, Photos juga mempunyai fungsi carian yang lebih efektif di mana pengguna boleh mencari gambar dan video melalui carian tarikh, lokasi ia diambil, dan nama album. Setiap gambar juga boleh diedit dengan lebih efektif melalui pengenalan fungsi edit yang lebih banyak. Sistem Smart Adjustments membolehkan pengguna menukar gambar yang tidak begitu cantik menjadi lebih menyerlah. Menariknya, terdapat juga fungsi tambahan video time-lapse pada kamera yang disertakan bersama.

    iMessage: Kini dengan audio dan video

    Sekiranya anda gemar menggunakan iMessage, anda boleh menghantar audio dan video secara terus dari aplikasi berkenaan seumpama fungsi yang terdapat pada aplikasi permesejan popular Whatsapp, Line dan Whatsapp.

    Smart Keyboard: Papan kekunci maya yang lebih pintar

    Papan kekunci maya di dalam iOS 8 juga telah menjadi lebih pintar di mana ia mampu mempercepatkan proses menaip pengguna. Papan kekunci pintar ini boleh meramal apakah perkataan yang bakal ditaip oleh pengguna dan memberikan pilihan perkataan seterusnya. Ini bermakna pengguna tidak perlu menaip keseluruhan huruf dan sudah pasti ini akan menjadikan proses menaip lebih pantas.


    Family Sharing: Perkongsian dengan keluarga menjadi lebih erat

    Aplikasi terbaru yang diperkenalkan di dalam iOS 8 adalah Family Sharing. Melaluinya, pengguna berpeluang berkongsi lagu, filem, atau aplikasi yang telah dibeli bersama semua ahli keluarga (terhad untuk 6 orang ahli sahaja). Setiap ahli keluarga yang menggunakan iOS 8 juga boleh mengongsikan gambar, video, kalendar keluarga dan lokasi. Sekiranya ada di antara ahli keluarga tersebut kehilangan peranti iOS mereka, ahli keluarga yang lain boleh mengesan kedudukan peranti berkenaan dengan mudah melaui Find my iPhone.

    iCloud Drive: Berkongsi fail dengan lebih mudah

    Kini melalui pengenalan aplikasi iCloud Drive, perkongsian fail di dalam iOS lebih mirip kepada sistem perkongsian awan yang sedia ada seperti Dropbox, One Drive dan Google Drive. Pengguna berpeluang menyimpan dan berkongsi fail seperti PDF, gambar, dokumen dan banyak lagi melalui iOS, Mac OSX mahupun PC (Windows).


    Health: Pemusatan data berkenaan kesihatan pengguna

    Terdapat banyak aplikasi dan gajet berkaitan kesihatan yang telah direka khusus untuk iOS namun setiap aplikasi ini tidak berhubung antara satu sama lain. Ini sudah pasti menyusahkan pengguna untuk mengenal pasti tahap kesihatan mereka. Oleh itu, di dalam iOS 8, Apple telah memperkenalkan aplikasi Health di mana ia menjadi pusat utama pengumpulan data-data daripada gajet kesihatan iOS. Data-data yang dikumpul akan disusun dengan lebih baik untuk dipersembahkan kepada pengguna.

    iPhone, iPad dan Mac kini lebih berhubung dalam satu ekosistem

    Sekiranya anda memiliki iPhone, iPad dan Mac, anda kini boleh menjawab panggilan daripada iPhone anda melalui iPad mahupun Mac secara terus. Bukan itu sahaja, khidmat pesanan ringkas SMS juga boleh dihantar dan diterima di kedua-dua peranti berkenaan.


    Selain daripada itu, sistem enjin carian di dalam iOS, Spotlight juga diperhebatkan di mana ia mampu mencari aplikasi, filem dan lagu yang terdapat di dalam App Store dan iTunes Store secara terus. iOS 8 dijangkakan akan diperkenalkan kepada umum dalam beberapa bulan lagi.
  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain