• Jangkaan untuk WWDC 2014 pada 3 Jun ini


    2 Jun 2014 - Seperti yang diketahui umum, Apple bakal melangsungkan WorldWide Developer Conference (WWDC) 2014 pada awal pagi 3 Jun iaitu pada hari esok. Majlis yang dilangsungkan hampir setiap tahun ini seringkali menjadi platform bagi Apple memperkenalkan sistem operasi terbaru mereka kepada umum. Pada tahun ini, Apple dijangkakan akan memperkenalkan iOS 8 iaitu kemaskini kepada iOS 7 yang sedia ada.

    Jangkaan ini juga diperkukuhkan dengan kemunculan beberapa gambar yang menunjukkan kain rentang dan banner dengan nombor 8 sebagai suatu simbolik kepada kedatangan iOS 8. Beberapa pihak membuat andaian sistem operasi Apple ini akan dilengkapi dengan aplikasi kesihatan untuk pengguna, penambahbaikan pada pemetaan Apple, iTunes Radio yang dikemaskini, serta perubahan pada sistem notifikasi yang sedia ada pada iOS.


    Kemaskini bagi Mac OSX juga bakal diperkenalkan pada awal pagi nanti. Sudah pasti pengguna Macbook, iMac dan Mac Mini tidak sabar menantikan kemunculannya.

    Dari segi peranti, dijangkakan Apple akan memperkenalkan Apple TV terbaru dan mungkin Macbook Air dengan paparan Retina. Mac Mini juga dikatakan bakal menerima kemaskini terbaru kerana setelah sekian lama ia tidak menerima sebarang pembaharuan.

    Apakah yang tidak dijangkakan di WWDC 2014?

    Beberapa pengumuman yang tidak dijangkakan ketika WWDC 2014 adalah seperti pengenalan iPhone 6 (telefon bersaiz 4.7 inci) dan kemaskini iPad dan iPad Mini terbaru. Selain itu, iWatch juga berkemungkinan besar tidak akan diperkenalkan pada pagi esok. Sekiranya anda mengharapkan pengenalan TV pertama daripada Apple, kemungkinannya adalah amat tipis sekali.

    Apple WWDC 2014 dijangka bakal bermula pada 3 Jun 2014, 1 pagi dan boleh disaksikan secara langsung daripada Apple TV, peranti iOS, Mac serta komputer Windows yang memiliki aplikasi Quicktime.
  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain