• Apple Watch mungkin dijual pada harga RM1299


    12 September 2014 - Jam tangan pintar pertama daripada Apple yang diberi nama Apple Watch telah pun diperkenalkan secara rasmi kepada umum pada hari Rabu yang lalu. Pada dasarnya, jam tangan pintar ini bukanlah sesuatu yang baru kerana syarikat pengeluar lain seperti Sony dan Samsung telah mula bergiat aktif dalam memasarkan produk sebegini.

    Apple Watch menampilkan ciri-ciri yang hampir serupa dengan jam tangan pintar yang lain namun kali ini ia boleh diintegrasikan bersama-sama sistem operasi mudah alih iOS8. Dari segi rekaan dalaman pada jam ini, pengguna berupaya memilih antara muka yang berlainan mengikut kehendak masing-masing. Terdapat hampir 2 juta pilihan yang boleh dicuba oleh pengguna untuk memenuhi citarasa peribadi.


    Jam tangan pintar ini juga membenarkan pengguna untuk menjawab panggilan atau membalas mesej yang diterima di iPhone tanpa perlu membuka iPhone itu sendiri. Terdapat juga kekunci pantas untuk menghubungi mereka yang rapat dengan mudah. Fungsi emel juga telah digabungkan sekali di dalam Apple Watch bagi memudahkan pengguna melihat dengan sekilas pandang emel yang baru diterima.

    Menariknya apabila dua pengguna Apple Watch bertemu, mereka boleh berhubungan sesama sendiri melalui jam tangan pintar ini seperti menghantar mesej suara (seumpama walkie-talkie), lakaran garisan, serta getaran denyutan nadi.

    Selain daripada itu, fungsi kesihatan pada Apple Watch juga telah diperkenalkan. Ia mampu merekod tahap kecergasan pengguna setiap hari seumpama Nike Fuelband. Fungsi ini juga telah dipertingkatkan apabila ia juga boleh menggunakan sistem GPS dan WiFi yang terdapat pada iPhone dalam proses merekod. Terdapat 3 bahagian utama di dalam aplikasi Activity untuk kesihatan ini iaitu Move (pergerakan), Exercise (latihan) dan Stand (berdiri). 


    Terdapat juga fungsi Apple Pay yang bakal diintegrasikan bersama-sama. Apple Pay merupakan sistem terbaru daripada Apple di dalam iOS8 di mana ia membenarkan pengguna membuat pembayaran dalam talian dengan mudah melalui kad kredit mahupun kad debit. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada fungsi ini bakal diperkenalkan di Malaysia ataupun tidak.

    Akan terdapat pelbagai lagi aplikasi-aplikasi terbaru yang bakal diperkenalkan untuk Apple Watch. Pada masa ini, aplikasi Apple seperti Calendar, Maps, Passbook, Music, Apple TV & iTunes, Remote Camera, Stopwatch, Timer, Alarm, World Clock, Stocks, Weather, Photos, Siri dan Setting telah dipastikan bakal boleh digunakan bersama-sama iPhone dan Apple Watch.


    Terdapat tiga jenis Apple Watch yang bakal diperkenalkan iaitu Apple Watch, Apple Watch Sport, dan Apple Watch Edition. Setiap satu jenis boleh dimiliki dalam dua saiz yang berlainan iaitu 38mm dan 42mm. Tali jam tangan juga boleh ditukar mengikut citarasa pengguna itu sendiri.

    Apple Watch dijangkakan akan mula dijual pada awal tahun 2015. Tiada sebarang tarikh rasmi bilakah jam tangan pintar ini bakal dijual di Malaysia namun kami menganggarkan ia bakal dijual dalam harga bermula sekitar RM1,299.

    Maklumat lanjut: Apple Watch
  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain