• Spotify Premium - Berbaloi atau tidak?


    16 Oktober 2014 - Spotify merupakan sebuah aplikasi pemain muzik dalam talian yang kian popular di kalangan pengguna telefon pintar. Pengguna berpeluang mendengar lagu-lagu kegemaran mereka melalui penstriman secara terus dari storan awan Spotify. Pada masa ini, terdapat berjuta-juta lagu yang telah diletakkan ke dalam aplikasi ini termasuklah lagu-lagu Melayu yang terkini.

    Terdapat dua jenis akaun Spotify yang boleh dipilih oleh setiap pengguna iaitu versi percuma atau versi Premium (berbayar). Bagi versi percuma, pengguna boleh menikmati penstriman lagu-lagu kegemaran mereka termasuk lagu-lagu terkini. Walau bagaimanapun, akan terdapat iklan-iklan yang akan diselitkan bersama antara lagu-lagu yang didengari. Pengguna boleh menggunakan Spotify di telefon pintar, tablet mahupun komputer. Menariknya, kesemua lagu-lagu yang telah dipilih oleh pengguna akan disegerakkan bersama ke dalam semua platform.


    Ramai yang sering bertanya adakah Spotify versi Premium berbaloi untuk dilanggan ataupun tidak. Ini berikutan harga langganannya adalah sebanyak RM14.90 sebulan. Sekiranya anda merupakan pendengar lagu yang tegar, kami menggalakkan anda untuk menggunakan akuan Spotify Premium kerana terdapat fungsi mendengar lagu luar talian (offline). Melalui fungsi ini, pengguna dapat menjimatkan data Internet mudah alih mereka di samping menjimatkan penggunaan bateri.

    Akaun Spotify Premium juga tidak mempunyai sebarang gangguan iklan ketika pengguna mendengar lagu. Ketika pengguna sedang mendengar lagu-lagu terbaru, pengguna berpeluang untuk melangkau ke lagu seterusnya dengan mudah tanpa sebarang halangan. Bagi akaun Spotify percuma, pengguna hanya boleh melangkau beberapa lagu sahaja sebelum fungsi ini dihadkan.


    Di samping itu, melalui Spotify Premium, kualiti muzik yang disajikan juga adalah lebih baik kerana didatangkan dalam versi definasi tinggi (seumpama lagu di iTunes). Pada pandangan kami, jika anda gemar memuat turun lagu melalui iTunes dan sering membelanjakan wang di dalamnya melebihi RM15 sebulan, anda mungkin mahu mencuba Spotify Premium yang memberikan tawaran yang lebih murah. Kesemua lagu boleh didengari secara dalam talian atau luar talian tanpa had dan tanpa sebarang caj tambahan.

    Sekiranya anda ingin mencuba untuk menggunakan akaun Spotify Premium, anda boleh menggunakannya secara percuma selama 30 hari tempoh percubaan.

    Laman rasmi: Spotify Premium
  • You might also like

Dikuasakan oleh Blogger.

Artikel Lain